Wednesday, 23 March 2011

Pengaruh tingkahlaku pelajar

1.0              Pengenalan

Mengurus manusia adalah proses yang panjang dan kompleks. Proses ini menjadi semakin kompleks kerana yang dididik itu adalah manusia dan bukannya robot. Robot boleh diarah kerana ia boleh diprogramkan. Manusia dibekalkan dengan akal fikiran dan perasaan yang digunakan bagi tujuan berfikir dan bertindak. Ironinya, kadangkala manusia bertindak diluar batasan, boleh berubah sikap, peri laku dan pandangan hidup pada jangka masa yang sukar diramal.
Maksud Kamus Dewan (1994), tingkah adalah gerak-geri, kelakuan, perbuatan. Manakala, laku adalah gaya (cara) membuat sesuatu, perbuatan, tabiat. Menurut Saayah Abu (2007) definisi asas tingkah laku ialah sebarang tingkah laku sama ada positif atau negatif yang menjejaskan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Ia terbahagi kepada tingkah laku positif dan tingkah laku negatif.
Secara umunya perkataan personaliti bermaksud sahsiah, keperibadian atau perwatakan seseorang. Personaliti pula berasal daripada Bahasa Latin iaitu persona yang bermaksud topeng muka. Topeng muka ini digunakan oleh pelakon-pelakon Yunani di atas untuk berlakon. Mereka memakai topeng yang sesuai dengan watak yang mereka hendak bawakan.
Mengikut Mishel (1968) personaliti adalah pola-pola atau tingkah laku seseorang individu yang dijelmakan dalam kehidupan seharian masing-masing. Ini bermaksud segala kerja atau kegiatan yang dilakukan oleh seseorang dapat menggambarkan personaliti mereka yang sebenar.
Pada pandangan Allport (1961) pula, mendefinisikan personaliti sebagai satu organisasi dinamik sistem psikofizikal pada seseorang individu yang menentukan tingkah laku dn fikirannya yang khusus. Dinamik membawa maksud perubahan yang berlaku di dalam kualiti tingkah laku seseorang individu. Organisasi membawa implikasi bahawa semua trait seperti kerajinan, kesabaran dan daya tuju adalah saling berkait. Sistem psikofizikal pula merujuk kepada tabiat, sikap, nilai, kepercayaan, kebiasaan, emosi dan sentimen  yang terdapat dalam bentuk psikologi tetapi yang mempunyai asas fizikal di dalam urat saraf dan tubuh badan.
Menurut Eysenck (1981) personaliti adalah organisasi watak, perangai, intelek, bentuk badan yang agak stabil dan yang menentukan penyesuaiannya yang unik terhadap persekitarannya.
Bagi Keagan J dan Seagal J (1988) mentakrifkan personaliti sebagai corak keseluruhan seseorang individu yang merangkumi pelbagai aspek termasuk cara dia berfikir, berasa, bertingkah laku dan berhubung dengan alam sekitarnya.
Dalam menentukan persenoliti seseorang pelajar, ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan penting agar personaliti yang ditampilkan adalah personaliti yang terbaik. Maka, pembengtukan personaliti pelajar adalah bermula daripada ibu bapa. Ini kerana, secara umumnya baka ibu bapa akan mempengaruhi personaliti anak-anak mereka terutamanya dari segi bentuk badan, keadaan fizikal, kecerdasan dan emosi anaknya. Selain daripada itu, ibu bapa juga merupakan orang yang pertama mereka lihat selepas dilahirkan, oleh yang demikian setiap tingkah laku yang ditunjukkan oleh ibu bapa menjadi ikutan anak-anak. Ibu bapa sebenarnya yang membentuk tingkah laku awal anak-anak sama ada tingkah laku tersebut positif atau negatif.
Apabila pelajar melangkah masuk ke alam persekolahan, mereka mula didedahkan pula dengan pengaruh rakan-rakan sebaya dan guru. Maka, mereka mula meniru dan menadaptasikan semua tingkah laku yang diperhatikan tanpa mempersoalkan sama ada ia betul atau salah. Orang yang paling hampir dengan mereka adalah guru. Ini disebabkan, guru merupakan orang yang paling dipercayai oleh pelajar selepas ibu bapa. Apa yang diakatakan dan dilakukan oleh guru merupakan satu perbuatan yang betul. Setiap apa yang diajar oleh guru adalah betul berbanding apa yang diajar oleh ibu bapa dirumah. Oleh yang demikian, semakin mereka meingkat dewasa mereka banyak dipengaruhi oleh guru.
Oleh yang demikian, ibu bapa dan guru perlu mendekati pelajar-pelajar yang mempunyai masalah tingkah laku yang negatif dengan membimbing mereka ke arah membentuk semula tingkah laku mereka untuk menjadi positif. Ini disebabkan oleh kerana peredaran masa dan pendedahan multimedia yang banyak telah merubahkan tingkah laku pelajar.

2.0              Faktor-faktor Yang Membentuk Personaliti dan Tingkah laku Pelajar Dalam Sekolah
Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi pembentukan personaliti pelajar-pelajar iaitu:
2.1              Bentuk tubuh
            Pembentukan tubuh bandan secara langsung dan tidak langsung sebenarnya mempengaruhi personaliti peljar. Ini kerana bagi pelajar yang bertubuh kecil mereka akan rasa terhalang untuk menjayakan sesuatu aktiviti di sekolah berbanding dengan pelajar yang bertubuh besar. Selain itu juga, pelajar yang mempunyai tubuh besar akan sentiasa membuli pelajar yang bertubuh kecil dalam kelompok rakan sebaya mereka.
            Selain daripada itu juga, bertubuh besar atau kecil akan mempengaruhi emosi pelajar tersebut. Ini jelas bagi pelajar yang bertubuh terlalu besar atau obesiti berbanding rakan-rakan yang lain akan merasa rendah diri dengan ejekan rakan-rakan. Maka pelajar akan membesar dengan perasaan malu, rendah diri dan tersisih. Secara tidak langsung ia akan membuatkan perkembangan emosi yang tidak stabil dan membentuk personaliti yang tidak baik.
            Sebagai ibu bapa, mereka harus berperanan meberikan satu persepsi dan mengukuhkan penerimaan pelajar bahawa setiap manusia yang dijadikan oleh Allah mempunyai kelebihannya. Selain daripada itu, ibu bapa juga semestinya lebih peka terhadap perasaan anak-anak yang mempunyai bentuk badan terlalu besar atau kecil berbanding dengan rakan sebaya ini. Mereka sentisa diterapkan dengan penerimaan yang positif dan menghargai keistimewaan yang diberikan.
            Guru juga secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar-pelajar ini untuk memperkembangkan potensi diri mereka dalam bidang yang mereka mahir. Seandainya pelajar tersebut berbadan besar, guru boleh menggalakkan pelajar tersebut untuk menyertai sukan lontar peluru. Kejayaan yang dikecapi oleh pelajar berkenaan secara tidak langsung dapat mengubah persepsi rakan sebaya yang lain berkenaan dengan bertubuh besar. Jadi secara tidak lkangsung pelajar akan dapat membina personaliti yang positif.  
2.2              Kecerdasan
            Kecerdasan telah dibekalkan kepada kanak-kanak agar berkeupayaan menyesuaikan untuk hidup, untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah penyesuaiannya. Kecerdasan yang sederhana membantu pelajar untuk menyesuaikan diri dengan baik dikalangan rakan-rakan sebaya mereka. Namun begitu, jika kecerdasan mereka terlalu tinggi dan terlalu rendah boleh menyebabkan penyesuaian diri mereka terjejas. Ini adalah disebabkan oleh pelajar yang mempunyai kecerdasan tinggi dan rendah akan membentuk satu penerimaan psikologi kerana ia menentang penyesuaian yang sempurna.
            Pelajar di sekolah sebenarnya kurang jelas tentang kecerdasan yang dimiliki oleh mereka. Mereka hanya berpandukan kepada keputusan ujian ataupun peperiksaan yang diadakan oleh pihak sekolah. Maka, perasaan mereka terhadap pencapaian mereka sedikit sebanyak mempengaruhi personaliti mereka. Ini adalah disebabkan oleh sikap semulajadi dalam diri pelajar yang sentiasa ingin berdamping dengan rakan-rakan yang mempunyai kecerdasan yang sama. Secara tidak langsung, pelajar yang mempunyai kecerdasan yang rendah tidak dapat berkawan dengan pelajar yang lebih pandai. Mereka akan sentiasa disingkirkan dan diejek kerena tidak pandai. Oleh yang demikian, mereka merasakan tidak dipedulikan oleh rakan-rakan dan guru maka rasa rendah diri juga semakin meningkat.
            Ibu bapa seharusnya berperanan dalam membimbing anak-anak yang kurang berjaya sewaktu berada di rumah dengan memantau kerja rumah yang dibekalkan oleh guru serta sentiasa menyuruh anak-anak untuk mengulangkaji pelajar biarpun bukan musim peperiksaan. Selain itu juga, ibu bapa boleh menyediakan jadual belajar yang lebih teratur agar anak-anak dapat mengisi masa terluang dengan berdamping bersama buku-buku pelajar. Jika ibu bapa lebih berkemampuan, mereka boleh menghantar anak mereka menghadiri kelas tambahan berbayar di luar sekolah. Peranan ibu bapa yang sentiasa mengambil berat tentang pencapaian anak-anak sebenarnya membantu secara untuk anak-anak lebih berjaya.
            Guru juga perlu sentiasa positif terhdap pelajar yang kurang kecerdasannya dengan membuat kumpulan di dalam kelas dan menempatkan setiap kumpulan yang terdiri daripada semua tahap kecerdasan agar yang pandai dapat membantu yang kurang pandai. Guru juga perlu menerapkan satu perasaan positif terhadap pelajar-pelajar bahawa setiap manusia itu berbeza kecerdasannya dan mereka memerlukan usaha yang lebih berbanding dengan pelajar yang lebih pandai. Selain itu, guru juga perlu memberi peluang kepada semua pelajar secara sama rata dan tidak membanding pelajr-pelajarnya. Ini dapat membantu mengukuhkan lagi keyakinan diri pelajar-pelajar yang kurang kecerdasan untuk bersaing dengan rakan-rakan yang lain.
2.3              Pengaruh Keluarga
            Kehidupan anak-anak ditentukan oleh keadaan keluarganya. Jika mereka dibesarkan dalam keluarga yang harmoni dan keperluan mereka sentiasa dipenuhi ia akan meningkatkan penyesuaian mereka. Anak-anak yang melihat dirinya diterima oleh ibu bapa akan menunjukkan aspirasi ego yang lebih tinggi, ketekunan dan ketabahan. Sebaliknya bagi anak-anak yang dibesarkan dalam suasana keluarga yang kucar-kacir dan sentiasa bersengketa akan menyebabkan keadaan emosi anak-anak yang tidak stabil dan sentiasa terpinggir serta rendah diri.
            Pengaruh keluarga di rumah akan di bawa oleh anak-anak ini ke sekolah. Secara tidak langsung personaliti yang dibawa oleh mereka ke sekolah sukar ditafsirkan. Ini kerana jika mereka berada dalam suasana keluarga yang tidak aman, mereka akan cuba menonjolkan diri dengan mendekatkan diri mereka dengan guru dan rkaan-rkan bagi meluahkan perasaan. Bagi sesetengah pelajr pula, jika keluarga bermasalah mereka lebih senang untuk memencilkan diri dari guru dan rakan-rakan. Terdapat dua personaliti yang berbeza bagi pelajar yang datang daripada keluarga yang bermasalah.
            Ibu bapa seharusnya lebih matang dalam menangani masalah mereka. Jika terdapat salah faham cuba elakkan daripada bertengkar di hadapan anak-anak. Anak-anak sentiasa memerhatikan gerak geri ibu bapa. Setiap perlakuan ibu bapa sebenarnya menjadi ikutan anak-anak hingga dewasa. Oleh yang demikian, ibu bapa seharusnya lebih prihatin terhadap perasaan anak-anak agar tidak bergaduh dihadap mereka dan cuba menyembunyi permasalahan yang ada agar emosi anak-anak tidak terganggu.
            Guru perlu lebih peka terhadap perubahan pelajar-pelajarnya sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran. Pelajar yang mempunyai masalah keluarga dapat dilihat dengan sentiasa murung dan tidak memberiukan perhatian sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Guru mesti bersemuka dengan pelajar tersebut dan cuba menolong untuk menyelesaikannya. Selain daripada itu juga, prestasi pelajar yang bermasalah ini akan menurun.
2.4              Pengaruh rakan
            Rakan sebaya merupakan orang yang paling hampir dengan pelajar-pelajar. Mereka sentiasa bersama sewaktu sesi persekolahan dan apabila tamat sesi persekolahan. Rakan sebaya banyak mempengaruhi trait dalam diri pelajar. Ini disebabkan oleh mereka dalam lingkungan umur yang sama dan mempunyai kehendak yang sama serta memahami antara satu sama lain.
            Jika pelajar memilih rakan yang berpersonaliti baik dan sentiasa ingin berjaya dalam semua bidang dan bersahsiah cemerlang. Maka secara tidak langsung personaliti mereka juga terarah kepada rakan yang mereka pilih. Mereka juga akan sentiasa berusaha untuk menjadi salah seorang yang berjaya di sekolah. Selain itu, mereka juga mempunyai sikap sentiasa bersaing untuk menonjolkan diri dan popular di sekolah dengan menunjukkan bakat kepimpinan yang ada.
            Jika pelajar memilih untuk berkawan dengan pelajar yang berpersonaliti yang tidak baik seperti gangster di sekolah, malas dan suka membuli makanya mereka akan terarah menjadi seperti itu. Oleh yang demikian, mereka ini akan membentuk satu trait personaliti yang tidak baik. Pelajar-pelajar ini akan merasa inferior, iri hati, marah, benci dan muram terhadap rakan-rakan.
            Sebagai ibu bapa, kita seharusnya sentiasa berbicara dengan anak-anak di waktu terluang supaya lebih memahami diri mereka. Secara tidak langsung, ibu bapa dapat mengetahui perkembangan diri anak-anak. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlu mengetahui dengan siapa anak-anak berkawan. Seharusnya ibu bapa berjumpa dengan rakan-rakan anak dan berkenalan juga dengan keluarga mereka. Dengan cara ini mereka akan merasakan bahawa ibu bapa lebih mementingkan keselamatan mereka.
            Guru juga berperanan dalam memantau perkembangan aktiviti pelajar-pelajar di sekolah. Sebagai guru selepas waktu pengajaran dan pembelajaran, guru boleh memanggil pelajar dengan bertanyakan perkembangan diri mereka. Jadi secara tidak langsung guru dapat membimbing pelajar-pelajar yang berpersonaliti negatif ini untuk berubah ke arah yang lebih baik dengan mengubah persepsi dan paradigma mereka. Sekiranya sesi ini dilakukan setiap hari, pelajar akan rasa guru mengambil berat tentang diri mereka, justeru itu mereka akan cenderong untuk berubah.
2.5              Pengaruh kebudayaan
            Di dalam setiap kebudayaan kanak-kanak tertekan agar membentuk pola personaliti yang sesuai dengan standard kebudayaannya. Setiap kebudayaan mempunyai pola-pola personaliti yang diterimanya. Mereka mempunyai personaliti asas yang berlainan. Sejak kecil lagi ibu bapa melatih anak-anak menerima pola-pola personaliti yang sama. Maka dengan cara itu, cara kanak-kanak di didik dan membesar merupakan pengaruhi terbesar terhadap jenis personaliti yang yang akan dibentuknya.
            Namun begitu, setelah kanak-kanak menjejakkan kaki ke sekolah, mereka di dedahkan dengan rakan-rakan yang berlainan kaum serta mengamalkan budaya yang berbeza dengan mereka. Oleh yang demikian, mereka cuba untuk mengadaptasikan budaya rakan mereka dalam diri mereka. Ini kerana bagi mereka mudah untuk mereka bergaul jika terdapatnya persamaan budaya.
            Selain daripada itu, pendedahan media massa seperti televisyen dan internet telah merubah secara holistik tentang budaya yang selama ini telah ditearpkan oleh ibu bapa. Ini disebabkan pengaruh budaya barat yang lebih mudah diikuti dan di contohi. Ramai remaja sekarang tidak menghiraukan lagi tentang kebudayaan masing-masing. Malahan lebih suka memilih cara barat dengan beranggapan bahawa kebudayaan barat adalah lebih moden berbanding dengan budaya sendiri yang dikatakan kolot dan kuno.
            Sebagai ibu bapa kita haruslah sentiasa memantau perkembangan idologi anak-anak dalam memahami kehendak dan budaya kita. Sebagai contoh orang Melayu lebih bersopan jika berpakaian yang menutup aurat seiring dengan tuntutan agama. Sehubungan dengan itu, peraturan sekolah yang dikuatkuasakan telah menyediakan garis panduan cara berpakaian ketika ke sekolah dan berada di institusi pengajian tinggi di negara ini. Ibu bapa juga seharusnya sentiasa lebih berwaspada dalam melihat perkembangan anak-anak. Jadi, ibu bapa mestilah menjadi contoh yang terbaik dalam mengamalkan budaya yang diserapkan oleh keluarga masing-masing.
            Sementara itu, guru perlu menitik beratkan program kebudayaan dan moral di sekolah agar semua pelajar dapat melibatkan diri. Secara tidak langsung, pelajar-pelajar ini akan sentiasa didedahkan dengan kebudayaan setiap kaum dan pola-pola kebudayaan yang perlu mereka ikuti. Dengan cara ini perkembangan positif personaliti pelajar dari segi kebudayaan dapat diterapkan dan diperkukuhkan lagi. Selain itu, pihak kementerian juga boleh membantu pelajar dengan mengadakan pelbagai program yang bersesuaian daripada peringkat sekolah hinggalah ke peringkat kebangsaan. Justeru itu, ia akan membantu pelajar membentuk personaliti yang lebih berkesan.
3.0              Kesimpulan
            Faktor sekolah dan persekolahan telah memberi sumbangan terhadap pembentukan dan perkembangan personaliti pelajar-pelajar.       Guru telah memberikan tangungjawab untuk membentuk personaliti pelajar-pelajar selain daripada ibu bapa mereka. Di dalam pembentukan personaliti ini terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukannya. Terdapat empat faktor secara asasnya yang mempengaruhi pembentukan personalti pelajar-pelajar iaitu bentuk tubuh, kecerdasan, pengaruh keluarga dan pengaruh rakan.
            Berkenaan dengan bentuk tubuh, faktor baka sedikit sebanyak mempengaruhi di dalam pembentukan bentuk badan seseorang individu tersebut. Antaranya adalah dari segi bentuk muka, bentuk badan dan sebagainya. Di samping itu, kecerdasan seseorang individu tersebut juga dipengaruhi oleh keturunannya. Individu yang mempunyai darjah kecerdasan yang tinggi biasanya menonjolkan ciri personoliti yang berkeyakinan, berbudi bicara, berperwatakan bijaksana dan bersifat berani. Selain itu, emosi yang diwarisi juga boleh mempengaruhi personaliti seseorang.
            Selain itu pengaruh kelaurga dan pengaruh rakan sebaya banyak mempengaruhi pembentukan persenolati individu. Ini kerana orang-orang ini sentiasa berada disamping mereka. Maka secara tidak langsung personaliti setiap individu yang berada dengan pelajar akan sedikit sebanyak mempengaruhi pelajar-pelajar ini. Rakan dan keluarga merupakan orang yang paling dipercayai oleh pelajar dan setiap perlakuan mereka ini adalah baik dan tepat pada pandangan mereka.
            Begitu juga dengan peranan guru dalam membentuk personaliti pelajar. Guru merupakan orang yang penting dalam pembentukan diri seorang pelajar kerana sebahagian besar masa pelajar di habiskan di sekolah. Seorang kanak-kanak berhadapan dengan guru seawal usia 4 atau 5 tahun iaitu di peringkat prasekolah atau tadika sehinggalah mereka menginjak ke usia remaja. Guru akan memuji, menegur, menguji, dan menengking mereka sepanjang menjalankan tugas. Segala gerak laku dan perbuatan guru yang disenangi atau sebaliknya akan ditiru oleh pelajar-pelajarnya. Oleh itu segala tingkah laku dan perbuatan guru akan mempengaruhi sikap dan pembelajaran pelajar. Sebagai contohnya, cara guru berpakaian, gaya berjalan, gaya pertuturan dan sebagainya penampilan diri guru akan menjadi perhatian dan ikutan pelajar terutamanya guru yng menjadi idola kepada pelajar-pelajarnya. Oleh itu, guru yang mempunyai personaliti yang baik serta berpewatakan bersih akan dapat melahirkan generasi yang berakhlak.
            Atang Long (1991) guru yang mengamalkan tingkah laku yang beradap akan lebih disukai oleh pelajar. Cara hidup yang beragama, bermoral, dan berdisiplin dapat membimbing pelajar menjadi seorang insan yang baik secara tidak langsung. Reformasi pendidikan mementing agama, pendidikan moral dan penerapan nilai-nilai murni dalam kurikulum (Esah, 1998). Oleh itu guru harus menunjukkan ciri-ciri teladan kepada para pelajar. Guru yang mempunyai ciri-ciri peribadi yang baik dan terpuji setiap waktu dapat mengatasi masalah tingkah laku pelajar dengan mudah. Guru akan suka bergaul mesra dengan pelajar, cuba memahami perasaan dan kehendak mereka serta membimbing mereka menjadi orang yang baik.